2:04 PG

Si penyempurna akhlaq..

Bismilah&Salam..
Untuk topik kali ini saya bawakan kepada sahabat2 bagaimana Nabi menyebarkan ajaran islam di mekah dan penentangan yang baginda terima dari masyarakat arab jahiliyah pada masa itu..

Setelah genap umur Nabi Muhammad empat puluh tahun,maka Allah telah melantik baginda menjadi seorang pesuruhnya menerusi Malaikat Jibrail.Sejak menerima wahyu dari tuhan menyuruh penduduk Mekah dengan cara sembunyi.Nabi tahu bahawa penduduk Mekah adalah masih jahil,tentu mereka akan bertindak-balas sekiranya mengetahui nabi membawa ajaran baru.

Di antara perkara-perkara yang diserukan kepada orang-orang mekah ialah mengajak mereka supaya menyembah tuhan yang esa dan meninggalkan penyembahan berhala.Nabi juga menerangkan bahawa tiap-tiap perkara baik yang dilakukan akan mendapat balasan baik dan tiap-tiap perkara jahat yang dilakukan sudah tentu mendapat balasan jahat.Orang-orang mekah juga digesa supaya meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan keburukan seperti melakukan zina,berjudi,minum arak,menyembah berhala dan lain-lain.

Walaupun Nabi sentiasa berusaha menyeru mereka ke jalan kebaikan namun mereka enggan menerima.Ini adalah disebabkan kerana kebanyakkan daripada orang-orang Quraish mekah adalah berpangkat besar,kaya-kaya dan berpengaruh pula.Jadi mereka merasa khuatir dan bimbang takut kalau-kalau pangkat dan pengaruh mereka akan jatuh sekiranya mereka menganut islam.Orang-orang arab juga terutama kaum Quraish terlampau taat kepada kaum keluarga mereka.Antara satu kaum dengan kaum lain sentiasa memandang rendah dan bermusuhan.

Mereka merasa iri hati apabila melihat kaum lain itu lebih daripada kaum mereka.Contohnya kaum yang sentiasa bermusuhan ialah kaum bani umayyah dengan bani hashim.Dengan sebab itu kaum lain daripada kaum bani hashim enggan menerima ajaran nabi daripada bani hashim.Kengganan mereka disebabkan taraf kaum,sikap memandang rendah dan tidak mahu orang lain lebih berpengaruh dari mereka.

Kebanyakan orang arab quraish terlalu fanatik dengan agama datuk nenek mereka iaitu menyembah berhala.Agama ini telah mereka anuti sejak beratus-tahun dahulu sehingga berakar umbi di jiwa mereka.Sebab itu mereka enggan menerima ajaran Nabi kerana dianggap agama baru yang akan merosakkan agama mereka.Ada setengahnya beragama yahudi dan kristian,namun ajaran-ajaran yang diterima tidak jelas malahan samar-samar.Apabila mereka tahu bahawa dalam Islam juga ada diajarkan perkara tersebut,hati mereka jadi renggang dan takut untuk menjadi seorang islam.

Sebagai satu bangsa yang masih jahil,sudah tentu mereka tidak mudah untuk menerima sesuatu yang baru,lebih-lebih lagi dalam islam ada menegah perkara-perkara maksiat yang sudah menjadi kebiasaan mereka seperti berjudi,arak,memandang rendah pada kaum wanita,berzina dan lain-lain.Mereka takut sekiranya mereka memeluk islam,perkara-perkara tersebut akan dilarang daripada melakukan .Ini satu perkara yang memang tidak sanggup untuk ditinggalkan.

Dengan sebab itulah maka tidak hairanlah mengapa mereka enggan menerima ajaran-ajaran nabi walaupun ajaran-ajaran itulah yang akan membawa mereka ke arah kebahagian dan kebaikan di dunia dan akhirat.

0 ulasan: